MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Rabu, 21 November 2012

ASYURA

                 ASYURA berasal daripada kata 'asyarah yang bermakna : "10". Hari Asyura maksudnya adalah hari ke-10 daripada bulan Muharam. Hari ini sangat dihormati oleh bangsa Arab pada masa Jahiliah, terutamanya kaum Quraisy. Pada hari itu mereka menggantikan Kiswah (kelambu) yang menutupi Kaabah dan berpuasa.
                 Besar kemungkinan amalan itu merupakan peninggalan syariat Nabi Ibrahim yang masih berlaku dikalangan bangsa arab pada saat itu. Itu sebabnya Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari Asyura semasa baginda masih berada di Mekah. Apabila berpindah ke Madinah, Rasulullah SAW melihat bangsa Yahudi yang menetap di sana berpuasa pada hari Asyura juga. Baginda bertanya : "Mengapa kalian berpuasa pada hari ini? " Mereka menjawab : "Hari ini hari baik. Pada hari ini ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Oleh itu Nabi Musa berpuasa padanya. " Rasulullah SAW bersabda : " Aku lebih berhak dengan Musa daripadamu." Baginda lalu berpuasa dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa.
               Puasa Asyura hukumnya wajib pada tahun pertama kehadiran kaum Muslimin di Madinah. Hukum itu mula berubah apabila ALLAH menurunkan kewajipan puasa Ramadan satu tahun kemudian. Siti Aishah berkata : "Selepas puasa Ramadan diwajibkan, maka sesiapa yang hendak berpuasa pada hari Asyura, maka dipersilakan. Dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dipersilakan."
              Namun begitu, puasa pada hari Asyura tetap disunatkan dan mengandungi fadilat besar. Rasulullah SAW mengatakan bahawa puasa pada hari itu dapat mengugurkan dosa satu tahun sebelumnya. Demikian diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah. Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, puasa Asyura terdiri daripada 3 tingkatan. Tingkatan yang paling rendah berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja. Tingkatan pertengahan berpuasa pada hari kesembilan dan ke-10. Tingkatan tertinggi adalah berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharam.

Sumber : Utusan Malaysia, Selasa 20 November 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan