MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Selasa, 29 November 2011

PROGRAM BERKHATAN

AHAD : Program Khatan Beramai-ramai Taman Desa Jaya anjuran bersama Biro Kebajikan, Sosial & Kebudayaan Masjid Al Falah, KRT Zon Danau, Rakan Muda & Surau Al Hafiz telah dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Serbaguna Masjid Al Falah pada 27 November 2011 bersamaan 1 Muharram 1433H. Seramai 21 kanak-kanak terdiri dari pelbagai peringkat umur telah menyertai program ini. Seorang Doktor & 3 pembantu dari Hospital Sultanah Aminah ,Johor Bahru telah mengendalikan operasi berkhatan beramai-ramai ini. Peserta khatan diarak dengan iringan paluan kompang memasuki pekarangan Masjid mulai jam 8 pagi. Selepas sesi bergambar, peserta dirai dengan acara mandian beramai-ramai yang disempurnakan dan dirasmikan oleh YM Raja Idris Bin Raja Ali, Pemangku Pengerusi Masjid Al Falah. Pelbagai gelagat & reaksi dapat disaksikan semasa operasi berkhatan dijalankan, ada yang gementar, pucat lesi, senyum gembira dan ada juga yang menangis ketakutan. Itulah keistimewaan adat resam berkhatan.
  






Isnin, 28 November 2011

MA'AL HIJRAH

SABTU : Sempena menyambut kedatangan Awal Muharram / Ma’al Hijrah, Masjid Al Falah dengan kerjasama KRT Zon Danau, Biro Rakan Muda & Surau Al Hafiz telah mengadakan Majlis Tahlil, Doa Selamat, Doa Akhir Tahun / Awal Tahun dan Ceramah Agama pada 26 November  2011 bersamaan 30 Zulhijjah 1432H. Acara kemuncak majlis ialah Ceramah Agama yang disampaikan oleh Al Ustaz Nor Amin Sayani b Zainal iaitu penceramah bebas dari Institut Kemahiran MARA, Johor Bahru,  lulusan Universiti Islam Sultan Syarif Kasim, Riau Indonesia dan sekarang melanjutkan pengajian Peringkat Sarjana Master Sains Halal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah ( Guru Pengajian Islam ) MARA. Dalam ceramahnya, Ustaz menghuraikan pengertian sebenar Hijrah, dalil  dan pengajaran yang diperolehi daripada Hijrah Rasulullah SAW.
Enam pengajaran Hjrah yang dibentangkan
oleh Ustaz iaitu :
1.1.Ikhlas
2.2.Mantapkan Sahsiah
3.3.Strategi yang baik.
4.4.Sabar.
5.5.Tetap dalam jemaah
6.6.Pengorbanan.

Semoga apa yang disampaikan oleh Ustaz Nor Amin dalam ceramahnya dapat menimbulkan
keinsafan dan semangat untuk kita berhijrah hati dan akhlak dari yang buruk kepada yang
lebih baik. Kita perlulah menghayati erti sebenar    Hijrah ”.
 




Dalil Hijrah:
  Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah Serta berjuang pada jalan ALLAH ( untuk menegakkan agama ALLAH ), maka Itulah orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan ( ingatlah ) ALLAH maha Pengampun lagi maha mengasihani. ” ( Al -Baqarah : 218 ).

MUHARRAM

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri..
Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Peristiwa-peristiwa penting:
* 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
* 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang  

   mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan 
   kebenaran.


Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
* Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
* Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
* Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
* Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
* Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
* Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
* Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
* Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
* Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
* Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
* Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
* Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
* Hari pertama Allah menciptakan alam.
* Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
* Hari pertama Allah menurunkan hujan..
* Allah menjadikan 'Arasy.
* Allah menjadikan Luh Mahfuz.
* Allah menjadikan alam.
* Allah menjadikan Malaikat Jibril.
* Nabi Isa diangkat ke langit.

 
Antara amalan yang disunatkan pada bulan Muharam:
1.        Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya

           seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan    
           Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat
           selama 2 tahun.
2.        Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.  
3.        Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali.
4.        Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali. 


 14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura
(10 Muharram, bersamaan selasa, 06 DEC 2011):-
01. Melapangkan masa / belanja anak  , suami &  isteri2
      fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
02. Memuliakan fakir miskin

      fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
03. Menahan marah
      fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.
04. Menunjukkan orang sesat
      fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
05. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
      fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
06. Bersedekah
      fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-

      henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
07. Memelihara kehormatan diri
      fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
08. Mandi Sunat
      fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
      lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
09. Bercelak
      fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
      fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat
      fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
      lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala'
      Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca
      'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru'
      fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .
13. Menjamu orang berbuka puasa
      fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa
      Niat - 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
      fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya   

      daripada neraka.

Insya'allah..
Semoga Bermanfaat Dan Dapat Dipanjangkan Kepada Yang Lain-Lain.

Jumaat, 25 November 2011

AWAL MUHARRAM / MAAL HIJRAH

KULIAH ISYAK

JUMAAT : Pada 18 November  2011, Biro Helwa Masjid Al Falah mengadakan program Kuliah Isyak bersama Ustaz Dr Mohd Azhar Bin Abdullah ( Pensyarah Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (KIAS) Kota Bharu.  Ustaz Dr Mohd Azhar memilih tajuk ‘Aurat Lelaki & Wanita ’ memandangkan beliau membuat tesis mengenainya. Sebenarnya kuliah ini merupakan kesinambungan daripada Kuliah Dhuha yang telah diadakan pada bulan Ogos yang lepas. Pelbagai soalan dikemukakan oleh Muslimah bagi mendapatkan kepastian mengenai sesuatu isu berkaitan aurat dan persoalan am. Isu aurat dalam Kuliah Isyak yang disampaikan amat telus dan perlu diamalkan oleh setiap Muslimin mahupun Muslimat dalam menjalani kehidupan seharian.






Isnin, 14 November 2011

HARI RAYA KORBAN

                                            
Ahad : Umat Islam di Malaysia meraikan Hari Raya Korban pada 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432H. Semua AJK Masjid Al Falah Taman Desa Jaya mengucapkan Selamat Hari Raya Korban kepada seluruh umat islam amnya dan penduduk di kariah Taman Desa Jaya khasnya. Solat Sunat Aidil Adha telah dilaksanakan pada jam 8.30 pagi dan disusuli oleh aktiviti penyembelihan ternakan untuk ibadah Korban/Akikah sebanyak 6 ekor lembu dan seekor Kambing. Ajk Masjid Al Falah berganding bahu dengan penduduk setempat dalam urusan penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban. Selain menghayati semangat berkorban, program ini dapat mengeratkan lagi silaturahim diantara  Ajk Masjid, para jemaah dan penduduk di Taman Desa Jaya.



Jumaat, 4 November 2011

PROGRAM ZIARAH PESAKIT - 4

1. En Fuad Bin HJ Mahmood.
Ahad 30 Okt 2011, Pengerusi Biro Kebajikan Sosial dan Kebudayaan Masjid
Al Falah Tuan Haji Mohd Suremi bin Rasiden bersama AJK En Mohd Razali,
En Abd Razak serta jemaah Hj Yusoff, En Mustaffa telah menziarah pesakit
iaitu En Mohd Fuad bin Hj Mahmood di wad Hospital Sultanah Aminah, JB.
Beliau terlibat dengan kemalangan jalan raya secara 'langgar lari' pada
25 Okt 2011 yang mengakibatkan kecederaan serius dibahu kiri, leher
dan kaki kanan .
Hj Mohd Suremi menyampaikan sumbangan        Hj Mohd Suremi menyampaikan subangan
               kepada En Mohd Fuad                                 serta diperhatikan YM Raja Idris.


2. En Ismail Bin Che Ngah.
Ahad 30 Oktober 2011, YM Raja Idris bin Raja Ali (Pemangku Pengerusi Masjid Al Falah), Tuan Haji Mohd Suremi bin Hj Rasiden (Pengerusi Biro Kebajikan Sosial Dan Kebudayaan Masjid Al Falah), En Mohd Razali, En Abd Razak, En Rahim bersama isteri, Wanita UMNO, Jemaah masjid Hj Yusoff dan En Mustaffa telah menziarahi En Ismail bin Che Ngah di wad Hospital Sultan Ismail (HSI). En Ismail dimasukkan ke wad sejak 20 Oktober 2011 kerana organ dalamannya dijangkiti kuman selain menghadapi penyakit batu karang dan muntah-muntah. YM Raja Idris telah membacakan doa agar En Ismail segera sembuh serta dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Ahad, 23 Oktober 2011

"10 AMALAN YANG TERBALIK"

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau  terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang  dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
    1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada  yang berhak menurut Islam?
    2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi se masa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana  tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
    3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
    4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan  apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
    5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
    6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan  di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
    7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?  Atau kita mempunyai tujuan lain. ??
    8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan berpuluh ringgit satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
    9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid sedangkan itu ialah peraturan Allah. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
    10. Kita cukup teruja untuk forward kan sms atau emel dalam bentuk jokes, gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah orang lain.Tapi  kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada  kawan2 kita??.


Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari) .

Rabu, 19 Oktober 2011

PROGRAM ZIARAH PESAKIT - 3

Ahad 9 Oktober 2011, Jawatankuasa Masjid Al Falah terdiri daripada YM Raja Idris bin Raja Ali ( Pemangku Pengerusi ), Hj Mohd Suremi bin Hj Rasiden, En Abdul Razak b Talib, En Che Mokhtar bin Ibrahim, En Rahim bin Abu Bakar, En Shukri bin Ibrahim serta jemaah masjid iaitu Hj Yusof bin Abd Ghani dan En Zulkifli telah menziarahi :-
1 ).  Puan Salbiah Bt Idris, isteri kepada En Rahmat b saat di alamat No. 31, Jalan Permatang 33.  Puan Salbiah, 63 tahun menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak empat tahun yang lalu . Sejak kebelakangan ini beliau menghadapi masalah penglihatan dan tidak boleh bergerak bebas tanpa   bantuan orang lain
    

2 ). 
Puan Saadiah bte Winata di alamat No 25, Jalan Permatang 34. Berusia 60 tahun, seorang ibu tunggal yang mengidap sakit strok sebelah badan sejak April 2011 berpunca dari sakit kencing manis dan darah tinggi. 

Haji Mohd Suremi selaku Pengerusi Biro Kebajikan, Sosial dan Kebudayaan mewakili Masjid Al Falah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kedua-dua pesakit tersebut. Mudah-mudahan sunbangan ikhlas ini dapat meringankan penderitaan yang mereka alami. Seluruh jawatankuasa Masjid Al Falah mendoakan agar mereka cepat sembuh dan banyak bersabar dengan dugaan Allah SAW.                             

Sabtu, 8 Oktober 2011

MARHABAN

Sollallahu 'ala Muhammad
Sollallahu 'alaihi wa sallam...(2x)
Ya nabi salamun alaika
Ya rasul salamun alaika
Ya habib salamun alaika
solawatullahi alaika...


Marhaban berasal dari akar kata " Rahiba "  dalam bahasa Arab ertinya ‘ Selamat Datang‘ . 
Memuji Nabi Muhammad SAW atas kemuliaannya.


Soalan:-
Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini ?


Jawapan:-
*
Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap salawat dan salam kepada Junjungan s.a.w.
*
Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi dilahirkan lalu membawa “Marhaban Jaddal Husaini”, “Ashraqal Badru ‘Alaina” dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad s.a.w. adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam syarak, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna.
*
Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafiee di Mekah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi s.a.w. adalah suatu hal yang baik. Dan telah mengerja seperti itu banyak dari ulama-ulama yang menjadi ikutan Ummah. (I`anatuth Tholibin, Juz III halaman 363).
*
Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafiee (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi.
*
Pendeknya tiadalah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita tiadalah sekali-kali tertegah dalam syarak malah ianya adalah termasuk di dalam pekerjaan yang baik.

Isnin, 3 Oktober 2011

PROGRAM IBADAH KORBAN DAN AQIQAH

HIKMAH DAN FADHILAT KORBAN :
* Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan ALLAH.
* Menghapuskan dosa dan mengharapkan keredhaan ALLAH.
* Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutamanya antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
* Akan memperolehi kenderaan dan tunggangan ketika meniti titian Al-sirat Al-Mustakim di akhirat kelak.

PROGRAM ZIARAH PESAKIT - 2

Masjid Al Falah melalui Biro Kebajikan, Sosial & Kebudayaan ( BKSK ) telah mengatur satu ‘Program Ziarah Pesakitbermula Bulan Syawal 1432H. Program ini dilaksanakan dengan kaedah mengenal pasti para jamaah dan penduduk Taman Desa Jaya yang jatuh sakit atau mengalami penderitaan fizikal akibat kemalangan atau penyakit kronik. Sehubungan itu Hj Mohd Suremi bin Hj Rasidan , Pengerusi BKSK bersama jawatankuasa masjid iaitu YM Raja Idris, Hj salikin, En Rahim, Hj Zali, En Razak, En Mokhtar, En Syukri & En Khyruddin meluangkan masa menziarahi 3 orang pesakit iaitu : -
1. En Rahmat bin Kamidi : Pemandu Jabatan Landscap MBJB, alamat 17 Jln Lembah 37.
    ( Beliau bersama isteri Siti Zawiyah bte Sajat terlibat dengan kemalangan langgar lari
    di Jalan Skudai. Beliau mengalami keretakan lutut dan patah bahu manakala isteri 
    beliau  mengalami pendarahan & luka dalam perut. )
2. Hj  Halim bin  Alwee : Pesara Polis berumur  62 tahun beralamat 10 Jalan Permatang 27.
    ( Beliau mengalami sakit jantung sejak 1991, kencing manis & mempunyal hanya satu
    buah pinggang. Menjalani rawatan ‘by pass’ mengunakan bateri sebagai penyambung
    hayat.)
3. Hj Jaafar B Awang; Pesara kerajaan berumur 62 tahun beralamat  2 Jalan Permatang 27.
     ( Sakit tua, darah tinggi , kencing manis & selalu pitam ).


Ketiga-tiga pesakit yang diziarahi mengucapkan ribuan terima kasih & merafaqkan rasa kesyukuran kerana masih ada lagi insan berhati mulia yang ingin menjenguk dan prihatin keatas penderitaan yang mereka alamiInilah peranan dan tanggungjawab fardu kifayah yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak Masjid  Al Falah bagi memastikan para jemaah dan penduduk setempat mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya.Selain bertanya khabar, program ziarah ini merupakan salah satu mekanisma mengembangkan sunnah Rasullullah SAW..