MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Sabtu, 9 Mac 2013

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1434H

AHAD, 24 FEB - Masjid Al-Falah dengan kerjasama Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad dan Sekolah Agama Taman Desa Jaya berjaya menganjurkan secara bersama Majlis Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434H / 2013M. Majlis berlangsung selama dua hari bermula dari hari Sabtu, 23 Feb.2013 dengan pelbagai pertandingan yang melibatkan kanak-kanak di peringkat Tadika hingga ke sekolah menengah. Acara yang dipertandingankan ialah Melukis, Mewarna, Hafazan, Azan dan Iqamah. Program kemuncak berlangsung pada keesokan harinya iaitu pada pagi hari Ahad dengan acara perarakan Maulidur Rasul, Majlis Khatam Al-Quran, jamuan umum, penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan dan penyerahan sijil Khatam Al-Quran yang disampaikan oleh Ustazah Hajjah Ruhillah Binti Abdul Rahman, guru mengaji Kumpulan Qiraatil Quran kepada 14 orang muridnya. Sesi kedua majlis bermula dengan Solat Maghrib, Solat Hajat berjemaah anjuran Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJB) dan diteruskan dengan Solat Isyak berjemaah. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi Masjid / Pengerusi Majlis iaitu Tuan Haji Kassim Bin Darim. Acara kemuncak ialah Ceramah Khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Al-Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang, seorang penceramah bebas yang popular di Malaysia mahupun luar negara. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama ustaz dengan AJK, jemaah mahupun penduduk kariah Taman Desa Jaya. Selain menghayati Sunnah Rasul seperti mana yang disampaikan oleh penceramah, majlis ini dilihat dapat menyatu padukan ukhuwah sesama penduduk di kariah Taman Desa Jaya, Taman Ehsan Jaya dan sekitarnya.