MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Rabu, 11 Julai 2012

CERAMAH AGAMA DAN SOLAT HAJAT


SABTU , 7 Julai 2012 -  Masjid Al Falah Taman Desa Jaya menganjurkan  majlis ceramah agama sempena  menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al Mubaraq. Majlis diadakan selepas berlangsungnya Solat Hajat dan Program Pengukuhan Rohani dan Jasmani di kalangan Remaja 2012 yang dianjurkan secara bersama dengan Persatuan Ibu Bapa (PIBG), Makdis SMK Taman Desa Jaya, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Desa Jaya dan Biro Rakan Muda Masjid Al Falah. Ustaz  Muhammad Asyraf b Mohd Ridzuan, Juara Imam Muda Astro Oasis 2010 dijemput khas bagi menyampaikan ceramah berkaitan dengan persediaan murid-murid islam dalam menghadapi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Diakhir ceramahnya, Ustaz juga menyentuh mengenai persediaan umat islam bagi menyambut dan menghayati kedatangan bulan Ramadhan.  
Sambutan yang diterima terhadap program ini amat menggalakkan. Turut hadir ialah guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Taman Desa Jaya, SK Taman Desa Jaya, Sekolah Agama Taman Desa Jaya, Ibu bapa, jemaah Masjid Al Falah, semua penduduk islam Taman Desa Jaya dan penduduk Taman berhampiran.















 

Selasa, 10 Julai 2012

PROGRAM PENGUKUHAN ROHANI


Sabtu, 7 Julai 2012 – Program Pengukuhan Rohani dan Jasmani dikalangan Remaja 2012 telah diadakan di Dewan Kuliah Masjid Al Falah Taman Desa Jaya. Majlis bermula dari jam 7.30 pagi  hingga 9.00 malam. Program ini merupakan anjuran bersama Biro Rakan Muda Masjid Al Falah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Makdis SMK Taman Desa Jaya dan Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Taman Desa Jaya. Seramai 80 murid SMK Taman Desa Jaya menyertai program ini. Turut hadir, En Kamal Ariffin b Ahmad ( YDP PIBG ) dan HJ. Mohd Suremi b Rasiden mewakili Pengerusi Masjid Al Falah. Penceramah program untuk sesi pagi ialah Ustaz Salihin b Masri dari JAIJ membentangkan ceramahnya bertajukPemantapan Sahsiahmanakala sesi petang ceramah motivasi bersama ibu bapa bertajukPeranan Ibu Bapa dalam kecemerlangan Kerjaya’ yang disampaikan oleh Ustaz Ismail  b Mat Ali.  Program diteruskan dengan Tazkirah dan riadah. Program bertujuan meningkatkan kesedaran dan motivasi diri pelajar untuk menghadapi peperiksaan disamping menjadi manusia beriman. Acara kemuncak ialah Solat Maghrib berjemaah, Solat  Hajat, Yassin, Zikir Munajat, solat Isyak berjemaah dan diakhiri dengan ceramah agama oleh penceramah khas iaitu  Ustaz Muhammad Asyraf b Mohd Ridzuan ( Juara Imam Muda Astro Oasis 2010 ). 








Isnin, 9 Julai 2012

NISFU SYAABAN

Biro Takhmir Masjid Al Falah Taman Desa Jaya mengadakan majlis menyambut malam Nifsu Syaaban pada hari Selasa malam Rabu, 3 Julai 2012 bersamaan 13 Syaaban 1433H. Majlis dimulai dengan Solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yaasin sebanyak 3 kali .Majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan diakhiri dengan jamuan. Majlis dipimpin oleh Ustaz Abdullah Zuhrim, Imam 2 Masjid Al Falah.  

.

Isnin, 2 Julai 2012

BULAN SYAABAN

Amalan-amalan Sunat Di Bulan Syaaban


Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”
 
(al-Bukhari)

 
Huraian
1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.


2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan


3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.


4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
iii. Bertaubat
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.





Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia