MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Rabu, 21 November 2012

ASYURA

                 ASYURA berasal daripada kata 'asyarah yang bermakna : "10". Hari Asyura maksudnya adalah hari ke-10 daripada bulan Muharam. Hari ini sangat dihormati oleh bangsa Arab pada masa Jahiliah, terutamanya kaum Quraisy. Pada hari itu mereka menggantikan Kiswah (kelambu) yang menutupi Kaabah dan berpuasa.
                 Besar kemungkinan amalan itu merupakan peninggalan syariat Nabi Ibrahim yang masih berlaku dikalangan bangsa arab pada saat itu. Itu sebabnya Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari Asyura semasa baginda masih berada di Mekah. Apabila berpindah ke Madinah, Rasulullah SAW melihat bangsa Yahudi yang menetap di sana berpuasa pada hari Asyura juga. Baginda bertanya : "Mengapa kalian berpuasa pada hari ini? " Mereka menjawab : "Hari ini hari baik. Pada hari ini ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Oleh itu Nabi Musa berpuasa padanya. " Rasulullah SAW bersabda : " Aku lebih berhak dengan Musa daripadamu." Baginda lalu berpuasa dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa.
               Puasa Asyura hukumnya wajib pada tahun pertama kehadiran kaum Muslimin di Madinah. Hukum itu mula berubah apabila ALLAH menurunkan kewajipan puasa Ramadan satu tahun kemudian. Siti Aishah berkata : "Selepas puasa Ramadan diwajibkan, maka sesiapa yang hendak berpuasa pada hari Asyura, maka dipersilakan. Dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dipersilakan."
              Namun begitu, puasa pada hari Asyura tetap disunatkan dan mengandungi fadilat besar. Rasulullah SAW mengatakan bahawa puasa pada hari itu dapat mengugurkan dosa satu tahun sebelumnya. Demikian diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah. Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, puasa Asyura terdiri daripada 3 tingkatan. Tingkatan yang paling rendah berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja. Tingkatan pertengahan berpuasa pada hari kesembilan dan ke-10. Tingkatan tertinggi adalah berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharam.

Sumber : Utusan Malaysia, Selasa 20 November 2012.

Jumaat, 16 November 2012

MAAL HIJRAH - PERINGKAT NEGERI JOHOR


KHAMIS, 15 Nov, 1 Muharam - Tahniah !!!!. Masjid Al-Falah Taman Desa Jaya menduduki tempat pertama  dalam penilaian Masjid Cemerlang Peringkat Daerah Johor Bahru dan tempat ketiga Peringkat Negeri Johor. Anugerah disampaikan oleh YB Datuk Haji Abdul Ghani b Othman, Menteri Besar Johor dalam Majlis Perasmian Pelancaran Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor tahun 1434H/2012M dan penyampaian hadiah anugerah masjid dan surau cemerlang peringkat Daerah dan Negeri Johor bagi tahun 1433H/2012M yang diadakan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru. Haji Kassim b Darim, Pengerusi Masjid Al-Falah menerima anugerah bagi pihak masjid iaitu sijil Masjid Cemerlang Peringkat Daerah dan sijil Peringkat Negeri Johor beserta wang  sebanyak RM6000.00.

Senarai penerima anugerah adalah seperti berikut ;
Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor     : Jainal b Sakihan
Tokoh Orang Asli                         : Abdul Wahib Baharom
Tokoh Saudara Kita lelaki             : Muhammad Sidek Arasu b Abdullah
Tokoh Saudara Kita perempuan    : Nursaadah Tay Binti Abdullah
Masjid Cemerlang , pertama         : Masjid Nurul Falah, Felda Redong, Labis, Segamat
Masjid Cemerlang , kedua            : Masjid Al-Redhuan, Felda Sungai Sayong, Kota Tinggi
Masjid Cemerlang , ketiga            : Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya 
Surau Cemerlang                         : Surau Al-Ansar, Bandar Permas Jaya, Johor Bahru.

Tahniah kepada semua pemenang, semoga keimanan dan ketaqwaan umat islam menjadi lebih baik tahun ini berbanding tahun lepas dengan mengamalkan prinsip kesederhanaan sesuai dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah'.


MAAL HIJRAH - PERINGKAT KARIAH TAMAN DESA JAYA

RABU, 14 NOV - Selamat tinggal 1433H, Selamat Datang 1434H. Bacaan Doa Akhir Tahun sebelum tibanya waktu Maghrib menutup Takwim Hijiriah 1433H  hari ini. Imam Ustaz Abdullah Zuhrim memimpin sambutan Maal Hijrah 1434H dengan Doa Awal Tahun selepas saja selesai solat Maghrib bersama seluruh jawatankuasa, pegawai dan para jemaah yang hadir. Kulaih khas Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 1434H Peringkat Kariah Masjid Al-Falah disampaikan oleh Ustaz Abdullah Zuhrim. Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan jamuan .








SOLAT HAJAT

KHAMIS, 8 NOV - Masjid Al-Falah dengan kerjasama Majlis Guru-Guru dan Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Desa Jaya mengadakan program Solat Hajat untuk murid darjah enam dan darjah Khas yang akan menduduki peperiksaan pada 19 - 24hb. November 2012 ini.. Majlis dimulai dengan Solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan Surah Yaasin. Usai solat Isyak berjemaah, Imam Ustaz Abdullah Zuhrim memimpin Solat Hajat yang turut disertai oleh semua murid-murid darjah enam, darjah Khas, guru-guru, ibubapa dan penduduk kariah Taman Desa Jaya. Semoga ikhtiar ini membuahkan hasil yang cemerlang kepada murid-murid yang terlibat. 



Ahad, 4 November 2012

PASAR PAGI MINGGU

AHAD, 4 November - Bagi memantapkan ekonomi umat islam di kariah Taman Desa Jaya, Masjid Al-Falah melalui Koperasi Kariah Taman Desa Jaya Johor Bahru Berhad menganjurkan program Pasar Pagi minggu pada setiap hari Ahad dipekarangan luar Masjid Al-Falah. Sebagai permulaan, pelbagai barangan keperluan harian seperti barangan hasil laut, sayur-sayuran, sarapan pagi, minuman dan pakaian dijual disini. Semua individu dan syarikat Islam tempatan yang berminat untuk membuka gerai / berniaga, bolehlah hubungi Haji Suremi bin Rasiden, Setiausaha Koperasi di talian 013-7565290 atau berjumpa terus dengan beliau di pejabat Masjid Al-Falah pada waktu pejabat bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.