MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Ahad, 23 Oktober 2011

"10 AMALAN YANG TERBALIK"

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau  terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang  dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
    1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada  yang berhak menurut Islam?
    2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi se masa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana  tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
    3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
    4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan  apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
    5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
    6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan  di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
    7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?  Atau kita mempunyai tujuan lain. ??
    8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan berpuluh ringgit satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
    9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid sedangkan itu ialah peraturan Allah. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
    10. Kita cukup teruja untuk forward kan sms atau emel dalam bentuk jokes, gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah orang lain.Tapi  kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada  kawan2 kita??.


Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari) .

Rabu, 19 Oktober 2011

PROGRAM ZIARAH PESAKIT - 3

Ahad 9 Oktober 2011, Jawatankuasa Masjid Al Falah terdiri daripada YM Raja Idris bin Raja Ali ( Pemangku Pengerusi ), Hj Mohd Suremi bin Hj Rasiden, En Abdul Razak b Talib, En Che Mokhtar bin Ibrahim, En Rahim bin Abu Bakar, En Shukri bin Ibrahim serta jemaah masjid iaitu Hj Yusof bin Abd Ghani dan En Zulkifli telah menziarahi :-
1 ).  Puan Salbiah Bt Idris, isteri kepada En Rahmat b saat di alamat No. 31, Jalan Permatang 33.  Puan Salbiah, 63 tahun menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak empat tahun yang lalu . Sejak kebelakangan ini beliau menghadapi masalah penglihatan dan tidak boleh bergerak bebas tanpa   bantuan orang lain
    

2 ). 
Puan Saadiah bte Winata di alamat No 25, Jalan Permatang 34. Berusia 60 tahun, seorang ibu tunggal yang mengidap sakit strok sebelah badan sejak April 2011 berpunca dari sakit kencing manis dan darah tinggi. 

Haji Mohd Suremi selaku Pengerusi Biro Kebajikan, Sosial dan Kebudayaan mewakili Masjid Al Falah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kedua-dua pesakit tersebut. Mudah-mudahan sunbangan ikhlas ini dapat meringankan penderitaan yang mereka alami. Seluruh jawatankuasa Masjid Al Falah mendoakan agar mereka cepat sembuh dan banyak bersabar dengan dugaan Allah SAW.                             

Sabtu, 8 Oktober 2011

MARHABAN

Sollallahu 'ala Muhammad
Sollallahu 'alaihi wa sallam...(2x)
Ya nabi salamun alaika
Ya rasul salamun alaika
Ya habib salamun alaika
solawatullahi alaika...


Marhaban berasal dari akar kata " Rahiba "  dalam bahasa Arab ertinya ‘ Selamat Datang‘ . 
Memuji Nabi Muhammad SAW atas kemuliaannya.


Soalan:-
Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini ?


Jawapan:-
*
Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap salawat dan salam kepada Junjungan s.a.w.
*
Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi dilahirkan lalu membawa “Marhaban Jaddal Husaini”, “Ashraqal Badru ‘Alaina” dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad s.a.w. adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam syarak, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna.
*
Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafiee di Mekah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi s.a.w. adalah suatu hal yang baik. Dan telah mengerja seperti itu banyak dari ulama-ulama yang menjadi ikutan Ummah. (I`anatuth Tholibin, Juz III halaman 363).
*
Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafiee (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi.
*
Pendeknya tiadalah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita tiadalah sekali-kali tertegah dalam syarak malah ianya adalah termasuk di dalam pekerjaan yang baik.

Isnin, 3 Oktober 2011

PROGRAM IBADAH KORBAN DAN AQIQAH

HIKMAH DAN FADHILAT KORBAN :
* Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan ALLAH.
* Menghapuskan dosa dan mengharapkan keredhaan ALLAH.
* Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutamanya antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
* Akan memperolehi kenderaan dan tunggangan ketika meniti titian Al-sirat Al-Mustakim di akhirat kelak.

PROGRAM ZIARAH PESAKIT - 2

Masjid Al Falah melalui Biro Kebajikan, Sosial & Kebudayaan ( BKSK ) telah mengatur satu ‘Program Ziarah Pesakitbermula Bulan Syawal 1432H. Program ini dilaksanakan dengan kaedah mengenal pasti para jamaah dan penduduk Taman Desa Jaya yang jatuh sakit atau mengalami penderitaan fizikal akibat kemalangan atau penyakit kronik. Sehubungan itu Hj Mohd Suremi bin Hj Rasidan , Pengerusi BKSK bersama jawatankuasa masjid iaitu YM Raja Idris, Hj salikin, En Rahim, Hj Zali, En Razak, En Mokhtar, En Syukri & En Khyruddin meluangkan masa menziarahi 3 orang pesakit iaitu : -
1. En Rahmat bin Kamidi : Pemandu Jabatan Landscap MBJB, alamat 17 Jln Lembah 37.
    ( Beliau bersama isteri Siti Zawiyah bte Sajat terlibat dengan kemalangan langgar lari
    di Jalan Skudai. Beliau mengalami keretakan lutut dan patah bahu manakala isteri 
    beliau  mengalami pendarahan & luka dalam perut. )
2. Hj  Halim bin  Alwee : Pesara Polis berumur  62 tahun beralamat 10 Jalan Permatang 27.
    ( Beliau mengalami sakit jantung sejak 1991, kencing manis & mempunyal hanya satu
    buah pinggang. Menjalani rawatan ‘by pass’ mengunakan bateri sebagai penyambung
    hayat.)
3. Hj Jaafar B Awang; Pesara kerajaan berumur 62 tahun beralamat  2 Jalan Permatang 27.
     ( Sakit tua, darah tinggi , kencing manis & selalu pitam ).


Ketiga-tiga pesakit yang diziarahi mengucapkan ribuan terima kasih & merafaqkan rasa kesyukuran kerana masih ada lagi insan berhati mulia yang ingin menjenguk dan prihatin keatas penderitaan yang mereka alamiInilah peranan dan tanggungjawab fardu kifayah yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak Masjid  Al Falah bagi memastikan para jemaah dan penduduk setempat mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya.Selain bertanya khabar, program ziarah ini merupakan salah satu mekanisma mengembangkan sunnah Rasullullah SAW..

Sabtu, 1 Oktober 2011

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA & MERAIKAN BAKAL HAJI

Ahad 25 September 2011, Meriah. Itulah ungkapan yang dizahirkan ramai tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya & Meraikan Bakal Haji anjuran Masjid Al Falah, Taman Desa Jaya. Majlis yang diadakan bermula jam 9 pagi turut dihadiri wakil MCA, MIC, Pemimpin Komuniti , penduduk Taman Desa Jaya dan penduduk sekitar. Majlis dimulai dengan persembahan Marhaban, bacaan Doa dan diikuti dengan Nasyid. Seramai 5 orang bakal haji dirai dan diberikan sumbangan ikhlas. Pelbagai juadah dihidangkan termasuk nasi goreng, lontong, ayam masak merah, rendang daging, kuih-muih, buah-buahan & minuman ringan. Walau sederhana, majlis ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua pihak. Selain menjamu selera, majlis ini diharap dapat mengeratkan lagi silaturahim diantara jawatankuasa Masjid Al Falah dengan penduduk setempat. Semoga Majlis ini mendapat keberkatan dari ALLAH SWT.