MASJID

MASJID AL FALAH, TAMAN DESA JAYA, 81100, JOHOR BAHRU,JOHOR - JADIKAN MASJID TEMPAT KETENANGAN, KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN

Rabu, 24 Ogos 2011

PROGRAM RAMADAN 1432H - MAJLIS TADARUS & KHATAM AL-QURAN PERDANA






Isnin 22 Ogos 2011, Biro Takmir mengadakan Majlis  Tadarus dan Khatam Al Quran Perdana selepas menunaikan solat Tarawih 8 rakaat dan Witir. 20 orang jemaah dan diikuti warga Taman Desa Jaya seiring bertadarus dan seterusnya Khatam Al Quran.
Semua peserta yang terlibat dengan Tadarus Al Quran dihadiahkan cenderahati kerana komitmen dan keikhlasan mereka bertadarus sejak awal Ramadan lagi. Majlis diakhiri dengan jamuan makan.

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN / BANTUAN



Ahad 21 Ogos 2011, Majlis ringkas penyampaian sumbangan / bantuan kepada 32 surau & 80 masjid dalam Kawasan Parlimen Tebrau telah diadakan di Masjid Al Falah selepas solat Zohor.
Yang Berhormat Datuk Hj. Maulizan Bin Bujang ( Adun Tebrau ) telah menyampaikan bantuan kewangan sebanyak Rm 350.00 kepada setiap surau & masjid yang berada dalam kawasan Parlimen Tebrau.

“ Walaupun Jumlahnya tidak banyak, Sekurang
-kurangnya ia dapat digunakan oleh pihak jawatankuasa surau & masjid untuk membayar bil air dan elektrik” ujar beliau.
Kesemua penerima ( Pengerusi dan Imam ) merasa bersyukur dan gembira dengan pemberian yang diperolehi lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.

PROGRAM RAMADAN 1432H - MAJLIS TADARUS & KHATAM AL-QURAN



Ahad 21 Ogos 2011, Biro Helwa menganjukan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran di Dewan Serbaguna Masjid Al Falah. Tadarus yang dimulakan pada jam 10.00 pagi telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyelesaikan juzuk yang telah ditetapkan. Seramai 15 orang muslimah telah khatam Al Quran pada majlis yang dipimpin oleh Ustazah Hajjah Jamilah.

PROGRAM RAMADHAN 1432H - KULIAH DHUHA



Ahad 21 Ogos 2011, Biro Helwa mengadakan program Kuliah Dhuha bersama Ustaz Dr Mohd Azhar Bin Abdullah ( Pensyarah Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (KIAS) Kota Bharu. Sebelum memulakan kuliah,  Ustaz meminta Muslimah yang hadir untuk berzikir Munajat dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
Ustaz Dr Mohd Azhar memilih tajuk ‘Aurat Lelaki & Wanita ’ memandangkan beliau membuat tesis mengenainya. Pelbagai soalan dikemukakan oleh Muslimah bagi mendapatkan kepastian mengenai sesuatu isu berkaitan aurat dan persoalan am. Isu aurat dalam Kuliah Dhuha yang disampaikan amat telus dan perlu diamalkan oleh setiap muslimin mahupun muslimat dalam menjalani kehidupan seharian.

PROGRAM RAMADAN 1432H - KULIAH SUBUH



Ahad 21 Ogos 2011, Biro Pendidikan Dan Dakwah Masjid Al Falah meneruskan Program Ramadan 1432 H dengan menjemput Ustaz Dr Mohd Azhar Bin Abdullah ( Pensyarah Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (KIAS) Kota Bharu untuk berkongsi ilmu dalam Kuliah Subuh. Ustaz telah menyentuh mengenai kedasyatan Hari Kiamat dan cara–cara membuat persediaan menghadapinya. Beliau mengupas bagaimana kaedah terbaik mencari Lailatul Qadar dan amalan pada 10 hari terakhir Ramadhan.
Ustaz mengingatkan “mereka yang terkeluar dari Lailatul  Qadar ialah 4 golongan yang tiada diampunkan dosanya,"  iaitu :-
1. Orang yang kekal minum arak.
2. Orang yang derhaka kepada ibubapanya.
3. Orang yang memutuskan silaturahim dan
4. Orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih 3 hari. Semoga kita semua tidak tergolong bersama mereka yang  disebutkan itu.
 
“Carilah dengan segala upayamu malam Lailatul – Qadar
pada malam-malam yang ganjil daripada 10 akhir dalam Ramadan”
-Hadis riwayat Iman Bukhari r.a.

PROGRAM RAMADAN 1432H - QIAMULLAIL & BERSAHUR



Ahad 21 Ogos 2011, Sepanjang bulan Ramadan Masjid Al Falah mengusahakn pelbagai aktiviti dan Program bagi mengimarahkan masjid disamping meraih keberkatan di bulan yang mulia ini.

Diantara Aktiviti yang dijalankan ialah program Qiamullail bersama Ustaz Mohamad Syuaib Al Hafiz ( bekas imam masjid Al Falah Taman Desa Jaya ). Ustaz telah memimpin jemaah menunaikan Solat Taubat, Solat Tahajjud & Solat Hajat di samping Zikir Munajat & Asma Al Husna.Selepas bersahur majlis diteruskan dengan Solat & kuliah subuh
 
Firman Allah Taala :  
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
 (الإسراء : 79)
Maksudnya : Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam
 serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya,
 sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

MAJLIS SUMBANGAN FAKIR MISKIN



Khamis 18 Ogos 2011, Masjid Al Falah mengadakan majlis penyerahan sumbangan / zakat kepada fakir miskin yang menetap dalam kariah Taman Desa Jaya. Seramai 50 orang penerima yang layak terdiri daripada fakir , miskin, ibu tunggal, anak yatim & orang kurang upaya telah menghadirkan diri mendengar taklimat ringkas dan seterusnya menerima sumbangan dari Masjid Al Falah Taman Desa Jaya.
Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban & kekangan kewangan para penerima dan bersama-sama merasai kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

PROGRAM RAMADAN 1432 H – BIRO HELWA

Ahad 14 Ogos 2011, Biro Helwa telah mengadakan program Solat Sunat Taubat, Solat Sunat Tasbih. dan Zikir Taubat / Munajat. Program telah dipimpin oleh Ustaz Mohamad Syuaib Al Hafiz ( Bekas Imam Masjid Al Falah, Taman Desa Jaya ).
Selain menunjukkan kaedah yang betul dalam menunaikan rentetan Solat sunat tersebut, Ustaz Mohamad Syuaib turut mencetuskan rasa keinsafan melalui Zikir Taubat & zikir Munajat yang disampaikannya. Program ini mendapat sambutan dari hampir 100 orang muslimah penduduk tempatan. Semoga program ini diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.

PROGRAM RAMADAN 1432 H



Sabtu,13 Ogos 2011, Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid Al
Falah telah mengaturkan program Ramadan 1432H Seperti solatwaktu berjemaah, Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih, Qiamullail dan Kuliah Subuh yang di pimpin Oleh Al Ustaz Dr. Muhammad Lukman Bin Ibrahim ( Pensyarah Taranum, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Al Ustaz yang memiliki Ijazah PhD Taranum pertama di Malaysia juga merupakan juara Kalam Suci Astro Oasis 2009.
Semasa kuliah subuh, beliau menyeru agar kita sentiasa bersederhana dan  berpada-pada dalam melakukan aktiviti harian seperti nyanyian, makan dan minum. Beliau menyambung ,“semua peperangan yang berlaku di dalam bulan Ramadan dimenangi oleh orang islam,” . Sebagai mengakhiri kuliah, Al Ustaz menegaskan “ Bulan Ramadan sepatutnya menjadi bulan kekuatan bagi umat islam dan bukannya
bulan kemalasan dan keletihan,".

MESYUARAT JAWATANKUASA BARU ( 2011 – 2013 )




Jumaat, 12 Ogos 2011, Mesyuarat pertama Jawatankuasa baru ( Sesi 2011- 2013 ) Masjid Al Falah Taman Desa Jaya telah diadakan selepas Solat Tarawih.  Sebelum mesyuarat bermula, Masjid Al Falah telah dikunjungi beberapa  wakil Umno Bahagian Tebrau diketuai Tuan Haji Hassan ( Ketua Biro kebajikan UMNO bahagian Tebrau ) & diiringi oleh Tn. Hj. Nasir Bin Syukur ( Penggerak Masjid DUN Tiram ) .
Tujuan kunjungan mereka ialah untuk bersuai kenal dan menyampaikan sumbangan Ramadan. Ketika mesyuarat,  Tuan Haji Kassim Bin Darim selaku Pengerusi Masjid mengucapkan tahniah selain memberi taklimat ringkas mengenai senarai tugas jawatankuasa kepada semua JK yang hadir. Diakhir ucapannya, Tuan Haji Kassim turut memaklumkan niatnya untuk bercuti rehat sebagai Pengerusi Masjid sehingga 31.12.2011 atas sebab kesihatannya yang tidak mengizinkan. Beliau telah menyerahkan tanggungjawabnya kepada Timbalan Pengerusi Masjid iaitu YM Raja Idris Bin Raja Ali.

MAKLUMAT RINGKAS MASJID AL FALAH

Mula dirancang pembinaannya pada tahun 1994 dimana upacara Majlis Pecah Tanah telah dilakukan oleh YAB Dato, Hj Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor. Kerja-kerja pembinaan bermula pada 9 November 2000 dan siap sepenuhnya pada 25 Mei 2002. Ianya terletak di atas lot PTD 68495 seluas 2.5 ekar di Jalan Lembah 17 Taman Desa Jaya. Kos pembinaan telah menelan belanja sebanyak RM3,230,800.00 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor dan sumbangan orang ramai. Kontraktor yang bertanggungjawab membina masjid ini ialah Bakar Arshad Sdn. Bhd.



Masjid yang indah ini mengandungi :
1.   Bangunan Dewan Solat 1 1/2 tingkat yang boleh menampung
      2000 orang jemaah.
2.   Pejabat Pentadbiran, bilik mesyuarat, Dewan Serbaguna, bilik
      imam dan bilik Bilal, tempat mengambil wuduk dan tandas
      samada lelaki dan perempuan.
3.   Bangunan stor dan bilik meter TNB.



Jarak masjid ini ialah 15 km dari Pusat Bandaraya Johor Bahru dan kawasan-kawasan berdekatan ialah Taman Ehsan Jaya, Taman Johor Jaya, Taman Desa Cemerlang, Taman Desa Tebrau, Taman Gaya dan Taman Pelangi Indah.



Aktiviti :
Jawatankuasa masjid telah melaksanakan aktiviti dan akan terus merancang dan mengadakan aktiviti harian, mingguan, bulanan dan tahunan seperti kuliah-kuliah Maghrib dan Subuh, majlis ceramah sempena bulan-bulan kebesaran Islam khasnya dibulan Ramadhan, Syawal, Zulhijah, Rabiulawal dan juga bulan Muharam..

SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG



Kata aluan Hj Kassim Bin Darim, Pengeruai Masjid Al Falah sempena perasmian Masjid Al Falah. 


Assalamualaikum wbt,

Syukur kehadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah rahmatnya hari ini Jumaat 9 Safar 1432H bersamaan 14 Januari 2011, Masjid Jamek Taman Desa Jaya ( kini Masjid Al Falah ) Johor Bahru telah disempurnakan perasmiannya. Masjid ini telah siap dibina pada 25 Mei 2002 dengan kos RM 3,230,800.00 dengan peruntukan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sumbangan orang ramai. Bangunan dewan solat 1 1/2 tingkat ini boleh menampung seramai 2000 jemaah.


Dengan perasmian masjid ini diharap jawatankuasa dan kariah dapat mengimarahkannya bagi tujuan meningkatkan syiar islam. saya mengharapkan pelbagai aktiviti keagamaan dapat diadakan dengan adanya kemudahan-kemudahan yang telah disediakan seperti dewan solat dan dewan serbaguna.


Akhirkata saya bersama-sama jawatankuasa dan pegawai masjid ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khasnya Kerajaan Negeri Johor, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Johor dan semua agensi-agensi kerajaan yang terlibat serta jemaah dan kariah bagi menjayakan majlis perasmian pada hari ini.

Khamis, 4 Ogos 2011

MUKADIMMAH

Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum WaRahmatullahi WaBarakatuh.



Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya kita dapat bersama-sama 'bersemuka dan berhubung' sesama ummah secara alam maya dan semoga dikurniakan kekuatan serta kemampuan untuk menunaikan kewajipan setiap Rukun Islam  yang diwajibkan. Masjid Al Falah dalam usaha menyampaikan sebarang maklumat mengenai aktiviti, program, pengumuman disamping untuk menjadikan medium berinteraksi secara online telah berusaha mengujudkan laman web / blog bagi tujuan tersebut. Walaupun sederhana dan terhad, diharap laman Web / Blog ini dapat menjadi 'Jambatan' komunikasi dua hala antara jawatankuasa Masjid Al Falah dengan jemaah / warga kariah Taman Desa Jaya khasnya dan masyarakat global amnya.
Segala buah fikiran, pandangan dan input dari muslimin dan muslimat amatlah dialu-alukan demi memantapkan lelaman ini.


Sebagai menyahut seruan 'dunia tanpa sempadan' maka Biro Penerbitan dan Teknologi Maklumat akan cuba sedaya upaya mempraktik dan menggunakan segala 'tools' yang ada untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan dengan aktiviti masjid. Kami berdoa agar dikurniakan kekuatan serta kemampuan untuk menunaikan kewajipan ini dan semoga segala usaha kita diberkati ALLAH SWT.


Sekian,
Wabillahitaufik walhidayah, wasalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.